Friday, October 23, 2009

31 MEI 2009 - My HAPPINESS DAY...

Tanggal 31 Mei 2009 bersamaan dengan hari Ahad, aku telah sah menjadi tunangan insan yang aku sayangi sejak 5 tahun yang lalu. Perkenalan yang bermula dengan hubungan abang dan adik angkat akhirnya menjadi satu ‘platform’ untuk kami manyatukan hati yang mekar dengan cinta remajanya. Kebetulan pula dengan peraturan sekolah yang melarang hubungan antara kaum hawa dan adam menyebabkan hubungan kami dirahsiakan dari pengetahuan ramai kecuali rakan-rakan terdekat. Mentari tidak akan memancar setiap hari. Ada kalanya taufan akan melanda kami. Namun, keikhlasan hati membuatkan kami bersatu kembali. Tidak dinafikan, kami juga sering mengalami salah faham dan bermasam muka. Itulah adat bercinta. Namun, ianya tidak berpanjangan kerana ‘sayang’ lebih handal menanganinya. Sepanjang 5 tahun inilah kami bercinta hanya dengan berutus surat dan khabar berita. Handphone menjadi penghubung setia walau ke mana saja ditujui kerana hanya itu yang menjadi pengutus rindu antara kami. Kesungguhan terhadap hubungan ini telah menemukan kami berdua setelah 4 tahun berpisah kerana dek jarak. 5 Oktober 2008, dia telah bertandang ke rumahku pada hari raya ketiga. Itulah yang membuatkan aku semakin yakin padanya kerana bukan dekat jarak dari tempat asalnya ke daerah tempat tumpah darahku. Keyakinan aku bertambah kuat bila si dia merisikku dan menyatakan hasratnya untuk mengikat tali pertunangan antara kami berdua. Itulah saat yang paling manis pernah ku lalui sehingga kini. Adab sopan dan baik tutur bicaranya itulah yang membuatkan orang tuaku menerima khabar tersebut dengan hati terbuka. Walhal sebelum ini aku pernah terdengar mereka kurang selesa dengan pertunangan orang muda pada zaman kini. Mungkin memang sudah jodohku dengan si dia. Kini, aku bahagia walau jarak memisahkan kami berdua. Namun, aku yakin cinta dan rindu kami berdua tetap setia di hati masing-masing. Buat insan bernama JALALUDIN BIN JUNAIDI, terima kasih sayangku kerana kau telah menjadikan impian kita menjadi begitu indah sekali lebih dari apa yang ku impikan selama ini. Walau permata ditadahkan di hadapanku, hanya kau saja yang bertakhta di hatiku untuk selamanya…

No comments:

Post a Comment